Anonymous menulis "
FEB 8 — Buat pertama kalinya istilah “Adun Bebas Menyokong Barisan
Nasional” diperkenalkan didalam kamus politik Malaysia. Selain daripada
itu, krisis politik di Perak juga telah menyebabkan nama Datuk Seri
Nizar Jamaluddin menjadi sebutan.
Bagi penyokong Pakatan, Nizar dilihat sebagai wira kerana
keberaniannya untuk mempertahankan hak rakyat negeri Perak untuk
menentukan kepimpinan negeri. Dalam masa yang singkat, Nizar Jamaluddin
yang sebelum ini tidak begitu dikenali diangkat menjadi tokoh yang
diletakkan sebaris dengan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Nizar juga popular dikalangan penyokong BN dan sering menjadi
sebutan dalam penulisan blog penyokong-penyokong BN *****a bezanya
dikalangan penyokong BN beliau dikutuk. Nizar dikatakan dikawal oleh
pemimpin DAP Perak seperti Ngar Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham.
Krisis di negeri Perak telah menyebabkan ramai pihak terpaksa
membuat pendirian bagi memastikan Perlembagaan Negara dihormati.
Keputusan menyokong agar DUN Perak dibubarkan agar pilihanraya negeri
dijalankan bagi memberikan peluang kepada rakyat di negeri Perak untuk
memilih kepimpinan negeri tersebut melangkaui parti politik.
Ahli Parlimen BN bagi kerusi Gua Musang merangkap bekas Menteri
Kewangan secara terbuka meminta agar krisis politik di negeri Perak
diselesaikan melalui pembubaran DUN.
“I stated at the beginning of this crisis that by our Constitution,
a change of government can only be brought about by democratic means,
which is to say, through the ballot box or through a formal vote of
confidence in the elected Legislative Assembly. These are the
constitutionally mandated means by which the people decide on their
government. Any other means of changing the government is
unconstitutional and undemocratic, and subverts the basis upon which we
are a civilised society”. (Petikan dari artikel yang bertajuk “What is
at Stake in the Perak Crisis” dari www.razaleigh.com yang disiarkan
pada 12 Mei 2009)
Pada 9 Febuari 2010 ini Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan
keputusan mengenai siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan ini
telah lama ditunggu oleh penyokong kedua-dua BN dan Pakatan.
Sebelum ini, pada 11 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah
memutuskan bahawa Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang
sah.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk
Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan
jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti
anggota DUN.
Pada 12 Mei 2009, belumpun cukup 24 jam keputusan Mahkamah Tinggi
mengesahkan Nizar sebagai MB Perak yang sah, Mahkamah Rayuan telah
menangguhkan keputusan berikut. Maka Zambry Kadir pun menjadi MB Perak
semula sementara menunggu keputusan yang bakal diputuskan oleh Mahkamah
Persekutuan.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman turut menyokong agar DUN
Perak dibubarkan dan memberi laluan kepada pilihanraya negeri agar
kuasa dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan siapa yang seharusnya
menjadi pemimpin mereka.
Menurut Abu Talib Othman yang juga bekas Peguam Negara didalam
sebuah kenyataan yang diedarkan kepada media pada 12 Mei 2009, artikel
21, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, mengatakan bahawa rakyat
harus menjadi teras kepada pembentukan sesebuah kerajaan.(Article 21 of
the Universal Declaration of Human Rights 1948 provides that the will
of the people shall be the basis of the authority of the government.)
Antara hujah yang digunakan oleh pihak BN untuk mempertahankan
rampasan kuasa di Perak ialah Datuk Seri Anwar Ibrahimlah yang
memulakan permainan tersebut dengan “Projek 16 Septembernya”.
Akan tetapi, bukankah BN begitu membenci Anwar Ibrahim? Jika benci
mengapa diikut apa yang cuba dilakukan oleh Ahli Parlimen Permatang
Pauh itu?
Bayangkanlah jika “Projek 16 September” Anwar Ibrahim berjaya,
apakah BN boleh menerima keputusan kerajaan mereka tumbang akibat
daripada “lompatan” dan bukan pilihanraya? Saya percaya BN dan
penyokong tidak boleh menerimanya.
Dalam sebuah survey yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru
ini, 74 peratus mengatakan bahawa mereka mahukan DUN dibubarkan dan
pilihanraya negeri diadakan semula.
Ini menunjukkan bahawa walaupun setahun telah berlalu, rakyat masih
belum melupakan peristiwa rampasan kuasa di negeri Perak tersebut.
Rakyat mahukan agar kuasa untuk memilih kepimpinan negeri dikembalikan
kepada mereka.
Setakat ini, Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya dalam Pakatan
Rakyat konsisten untuk membunarkan DUN jika disahkan sebagai MB Perak
oleh mahkamah.
Komitmen masih belum ada lagi dari pihak Dr. Zambry Kadir. Zambry
tentu hidup dalam keadaan tidak tenang apabila sering dipanggil dengan
panggilan “MB Haram”. Sudah tentu Zambry lebih senang hati jika beliau
menjadi MB dengan jalan yang dipilih oleh rakyat dan bukannya melalui
pintu belakang.
Jika diadakan pilihanraya, masih belum pasti lagi siapa yang akan menang. Kedua-dua Nizar dan Zambry mempunyai peluang.
Dr. Zambry Kadir baru-baru ini mengumumkan bahawa melalui “kajian”
yang dilakukan oleh pihaknya, kerajaan pimpinannya menjadi semakin
popular. Berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa rakyat Perak semakin
menerima kerajaan kepimpinannya, maka wajarlah Zambry membubarkan DUN
untuk membuktikan kebenaran kajian tersebut.
Jika Zambry melakukan perkara ini, secara tidak langsung beliau akan
dilihat menjayakan kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dengan slogan kepimpinannya yang berbunyi, “Rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan”.
Jika rakyat didahulukan, serahkanlah kembali kuasa mereka untuk
memilih. Jika DUN tidak dibubarkan, Perak akan terus berada dalam
keadaan tidak menentu. Lebih parah lagi jika rakyat hilang keyakinan
terhadap perlembagaan dan demokrasi sepertimana yang dialami oleh
Ferdinand Marcos, bekas diktator Filipina. Sebab itu Marcos akhirnya
dijatuhkan melalui “People Power”.
Selain daripada itu, Zambry akan dikenang sebagai pemimpin yang
sayangkan negeri Perak oleh kerana Pilihanraya Negeri akan memberikan
“economic Stimulus Package” kepada negeri-negeri tersebut. Ini sangat
diperlukan pada ketika ini dikala ekonomi negara bergerak dalam keadaan
yang lembab.
Pilihanraya akan membantu ekonomi penduduk tempatan secara langsung.
Hotel-hotel penuh. Rumah tumpangan penuh. Begitu juga dengan
rumah-rumah sewa. Tidak lupa juga dengan kedai-kedai makan. Semuanya
akan mengaut keuntungan besar di musim pilihanraya.
Bayangkanlah, jika di hari biasa “Nasi Ganja” di Jalan Yong Kalsum
di Ipoh boleh dijual sebanyak 1000 pinggan, berapa banyakkah yang akan
terjual pada musim pilihanraya negeri?
"